PELUPUSAN senjata api yang dirampas di IPD Bau. FOTO Ihsan PDRM
PELUPUSAN senjata api yang dirampas di IPD Bau. FOTO Ihsan PDRM
Melvin Joni

Bau: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau melupuskan 49 laras senjata api termasuk 1,794 butir peluru yang dirampas, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, senjata api itu membabitkan enam laras senapang patah bernombor siri, empat laras senapang patah buatan sendiri, 34 laras senapang angin dan lima pistol angin.

Beliau berkata, pelupusan dilakukan di kawasan IPD Bau pada 9.30 pagi semalam.

"Semua senjata api dilupuskan itu adalah barang kes telah jatuh hukum atau kes tiada tindakan lanjut (NFA).

"Kaedah pelupusan adalah dengan memotong, membakar dan menanam di dalam tanah di dalam kawasan IPD Bau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pelupusan itu turut disaksikan oleh Majistret Zubaidah Sharkawi; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau, Asisten Superintendan Francis Boniface Barau serta pegawai IPD Bau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:11 PM