GAMBAR Hiasan. Foto Noorazura Abdul Rahman
GAMBAR Hiasan. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Semua 57,635 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)di Kedah dan Perlis diminta untuk mematuhi jadual penanaman padi musim 2/2021 yang bermula pada 15 September lalu hingga 4 November depan.

Pengurus Besar MADA, Kamaruddin Dahuli, berkata pesawah perlu mengikut tiga fasa jadual yang ditetapkan di kawasan masing-masing bagi memudahkan pengurusan sokongan bekalan pengairan untuk pertanian.

"Proses menabur benih bagi fasa satu sudah bermula pada 15 September lalu dan berakhir pada 15 Oktober ini dan fasa dua bermula 25 September hingga 25 Oktober.

"Bagi fasa tiga pula proses menabur benih akan bermula 5 Oktober hingga 4 November depan. Keputusan ini dibuat selepas mencapai persetujuan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) bagi Musim 2/2021 yang dianggotai oleh MADA dan pemimpin peladang Kawasan Muda," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamaruddin, berkata penentuan jadual itu dibuat setelah pihak MADA mengambil kira beberapa faktor seperti ramalan sumber air sepanjang tahun termasuk takungan air di empangan, aliran sungai, turunan hujan di kawasan sawah dan guna semula air saliran.

Selain itu, katanya MADA juga mengambil kira faktor ramalan pencapaian aktiviti penuaian bagi Musim 1/2021, varieti dan tempoh matang padi serta masalah penyakit serta perosak padi

"Pesawah dipohon untuk memaksimumkan penggunaan air hujan di kawasan bendang untuk kegunaan aktiviti penanaman padi.

"Ini berikutan mengikut ramalan jangka panjang turunan hujan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, turunan hujan untuk bulan Oktober hingga Disember nanti adalah pada kadar purata," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata bekalan Benih Padi Sah (BPS) bagi Musim 2/2021 akan dipasarkan melalui 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.

Katanya, pesawah juga boleh mendapatkan bekalan BPS daripada agen atau individu yang mempunyai lesen atau surat kebenaran khas menjual BPS dengan harga siling RM35 bagi setiap beg.

"Peladang dinasihatkan untuk menggunakan BPS sahaja bagi tujuan penanaman padi dan sentiasa mengamalkan amalan pertanian baik serta mengikut Senarai Semak Penanaman Padi (Rice Check) bagi membolehkan potensi hasil yang maksimum dapat dihasilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 11:07 AM