BARANGAN yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang ditemui dalam bilik suspek ketika serbuan dibuat di Taman SBJ Putra, Wakaf Bharu.FOTO Ihsan PDRM
BARANGAN yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang ditemui dalam bilik suspek ketika serbuan dibuat di Taman SBJ Putra, Wakaf Bharu.FOTO Ihsan PDRM
Siti Rohana Idris

Tumpat: Penganggur dengan 15 rekod lampau berkait jenayah dan dadah ditahan pihak berkuasa, semalam, bagi membantu siasatan berkaitan kes pecah rumah.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman SBJ Putra, Wakaf Bharu, di sini, pada 10.15 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat serta Balai Polis Wakaf Bharu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui beberapa barang dipercayai barangan curi dan disimpan dalam sebuah bilik.

"Pemeriksaan dalam bilik itu menemui sebuah jam tangan, dua bentuk cincin perak dan sebuah telefon bimbit dipercayai barangan yang hilang dari rumah dipecah masuk di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, minggu lalu.

"Selain itu, sebatang spring tangan turut ditemui dan pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg kecil mengandungi plastik cerah berisi 19 biji pil kuda," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Razi berkata, soal siasat awal dijalankan mendapati suspek mengaku mengambil barang kes curi itu daripada seorang lelaki dikenali sebagai Hafiz melalui cara membuat pertukaran antara barang kes itu dengan pil kuda.

Menurutnya, suspek yang dipercayai seorang pengedar dadah, memberitahu tidak mengetahui tempat tinggal Hafiz dan hanya mengenali ketika berurusan untuk jual beli dadah sahaja.

"Hasil semakan, suspek mempunyai 15 rekod lampau termasuk enam berkait dadah dan tiga kes mengikut Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) kerana memiliki peralatan pecah rumah serta dua kes curi.

"Ujian saringan dijalankan mendapati suspek positif methampethamine dan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 2:59 PM