Halily (dua kanan) memantau anaknya pada sesi pembelajaran PdPR di kediamannya yang bermula hari ini. FOTO Rohanis Shukri
Halily (dua kanan) memantau anaknya pada sesi pembelajaran PdPR di kediamannya yang bermula hari ini. FOTO Rohanis Shukri
Murnaena Muhammad Nasir


Cheras: "Guru kini lebih cekap memberikan tugasan serta mengadakan kelas online (dalam talian).

"Anak saya juga kini lebih memahami sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan lebih selesa," kata suri rumah, Halily Kamaruzaman, 37.

Halily memberi reaksi itu bagi mengulas mengenai sesi persekolahan yang dibuka semula menerusi sesi PdPR selepas cuti Aidilfitri.

Menurutnya, PdPR kali ini lebih sistematik memandangkan pihak sekolah, guru, murid dan ibu bapa sudah biasa dengan situasi pendidikan norma baharu itu.

Dia yang juga menetap di Cheras Jaya, di sini, turut mengakui lebih mudah memantau PdPR ketiga-ketiga anaknya yang masing-masing berusia 11, 13 dan 15 tahun berbanding ketika awal pelaksanaan PdPR.

"Walaupun Hari Raya masih dirasai, kami menyambutnya sederhana dengan hanya duduk di rumah dan anak juga dilihat tiada masalah memasuki sesi PdPR seawal kelas, 8 pagi tadi," katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Halily berkata, ibu bapa yang bekerja pastinya mempunyai cabaran tertentu terutama dari segi pembahagian masa dalam memantau proses PdPR anak mereka.

"Sudah masanya ibu bapa celik dengan teknologi dan digital serta perlu yakin dengan kebolehan anak dalam memahami proses PdPR itu sendiri.

"PdPR bukan lagi baharu, ia sudah lama diperkenalkan dan seharusnya anak kini sudah memahaminya manakala ibu bapa hanya tinggal pantau sahaja," katanya.

Katanya, keluarganya tidak mempunyai masalah dari segi capaian internet mahupun keperluan teknologi seperti komputer riba dan telefon bimbit.

"Namun, nasib setiap keluarga berbeza terutama golongan B40 dan mereka yang tinggal di luar bandar.

"Peranan pihak sekolah penting dalam memastikan murid golongan ini tidak tercicir di samping sokongan serta bantuan daripada kerajaan," katanya.

Kongsinya, dia turut tampil dengan inisiatif sendiri dengan melanggan modul e-pembelajaran di portal ITTV bagi membolehkan anaknya memahami lebih baik dalam subjek tertentu.

Sementara itu, pelajar Tingkatan 3 Sekolah Agama Menengah Muhammadiah, Sabak Bernam, Selangor, Nur Aisyah Hasnan berkata, walaupun dia lebih suka sesi pembelajaran diadakan secara bersemuka, dia tetap memulakan PdPR di rumah seperti biasa hari ini.

"Hanya sebulan dapat jumpa kawan dan guru di sekolah. Belajar secara bersemuka di sekolah lebih seronok berbanding di rumah.

"Bagaimanapun, saya memahami ia dilaksanakan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan terus mengikuti kelas PdPR selama dua minggu ini sebelum cuti penggal nanti," katanya ketika dihubungi.

NUR Aisyah memulakan sesi pembelajaran subjek Sains di kediamannya. FOTO Rohanis Shukri
NUR Aisyah memulakan sesi pembelajaran subjek Sains di kediamannya. FOTO Rohanis Shukri

Nur Aisyah yang menetap di Petaling Jaya turut memulakan sesi PdPR hari ini di kediamannya secara kelas dalam talian bermula seawal 8 pagi tadi.

Sesi pembelajaran PdPR bermula hari ini sehingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Bagi sekolah kumpulan A, (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) sesi pembelajaran itu telah bermula pada Ahad sehingga 27 Mei.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:14 PM