ISLAM mengiktiraf kreativiti dan inovasi dalam pemakaian dan terserah kepada individu mengikut kesesuaian tempat dan masa selagi tidak melanggar batasan syarak. FOTO Arkib NSTP
ISLAM mengiktiraf kreativiti dan inovasi dalam pemakaian dan terserah kepada individu mengikut kesesuaian tempat dan masa selagi tidak melanggar batasan syarak. FOTO Arkib NSTP
Dr Azri Bhari

Segelintir masyarakat Islam dilihat terikut-ikut cara atau 'trend' pemakaian dan penampilan daripada budaya luar sehingga menjadikan pemikiran diracuni bahawa pemakaian dan penampilan dalam Islam adalah kolot dan tidak sesuai seolah-olah Islam agama yang tidak mengikut peredaran masa.

Melalui doktrinisasi bahawa pemakaian dan penampilan Islam adalah kolot dan pada masa yang sama sifat semula jadi manusia inginkan pembaharuan, maka berlaku krisis identiti dalam diri masyarakat Islam sehingga terpengaruh dengan budaya pemakaian dan penampilan luar.

Nabi SAW bersabda: "Apabila seseorang sudah hilang akan sifat malunya, maka lakukanlah apa yang dia suka." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas merujuk kepada wanita yang hilang sifat malu kerana sanggup berpakaian dan berpenampilan seksi dan ketat demi peredaran zaman.

Begitu juga dengan lelaki yang sanggup mengenepikan pakaian dan penampilan yang berunsurkan Islam dengan cuba menyerupai sesuatu bangsa atau budaya kerana beranggapan lebih terkehadapan.

Inilah yang digambarkan bahawa masyarakat Islam mengalami krisis identiti kerana mencari dan meniru identiti yang selainnya sedangkan Islam telah menetapkan dan memberi garis panduan yang jelas dalam pemakaian.

Secara prinsip, Islam tidak menafikan atau menolak sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kekemasan dan kecantikan. Bahkan Islam sangat menitik beratkan perkara agar dilakukan dengan kemas, teliti, cantik, elok dan sebagainya.

Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menyukai untuk melihat kesan nikmat-Nya ada pada hamba-Nya." (Riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi)

Islam mengiktiraf kreativiti dan inovasi dalam pemakaian dan terserah kepada individu mengikut kesesuaian tempat dan masa selagi tidak melanggar batasan syarak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai anak cucu Adam, sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutup auratmu dan perhiasan bagi kamu tetapi pakaian takwa itulah yang terbaik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah semoga mereka beringat." (Surah al-A'raf: 26)

Perlu difahamai pemakaian yang menggambarkan ketakwaan ialah pemakaian yang mengikut cara Islam yang menutupi aurat, tidak mengundang fitnah dan mampu menjaga tubuh badan daripada sebarang kebinasaan.

Terdapat garis panduan dan etika yang boleh diamalkan supaya berada dalam keadaan pemakaian dan penampilan menepati cara Islam.

Pertama, memastikan menutup seluruh tubuh yang menjadi aurat yang telah ditetapkan syarak.

Firman Allah SWT: "Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka," (Surah al-Nur: 31)

Kedua, larangan pemakaian yang mengubah fitrah jantina. Pemakaian lelaki tidak boleh menyerupai pemakaian wanita dan begitu juga sebaliknya.

Nabi SAW bersabda: "Rasulullah S.A.W melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan juga wanita yang memakai pakaian lelaki." (Riwayat Abu Daud)

Lelaki yang menyerupai wanita serta wanita yang menyerupai lelaki walau dari sudut pemakaian juga adalah termasuk dosa besar malah dilaknat Allah SWT dan Rasul-Nya kerana berlawanan dengan fitrah manusia.

Ketiga, pengharaman emas dan sutera kepada lelaki. Pakaian, alat perhiasan seperti cincin, jam dan sebagainya yang berunsur emas dan sutera diharamkan kerana sifat kelembutan dan kecantikan sesuai dengan fitrah wanita.

Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki." (Riwayat Ahmad)

Selain itu, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat, janganlah memakai sutera asli dan emas." (Riwayat Ahmad)

Keempat, tidak menyerupai bangsa lain yang melibatkan dari sudut kepercayaan dan keagamaan kerana akan menimbulkan persepsi bahawa seseorang tersebut meredai kepercayaan dan keagamaan yang bukan Islam.

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam kaum tersebut." (Riwayat Abu Daud)

Sekiranya pemakaian yang tidak melibatkan aspek kepercayaan dan keagamaan sesuatu kaum, sebaliknya merupakan kebiasaan kebanyakan manusia sebagai pakaian harian atau pekerjaan, maka ia dibolehkan.

Kelima, haram mengubah ciptaan Allah SWT kerana seolah-olah ingin mencabar Allah SWT dan menunjukkan perasaan tidak reda terhadap ciptaan semula jadi yang telah Allah SWT tentukan.

Oleh itu, masyarakat Islam dalam usaha melakukan penampilan dan keterampilan yang menarik dan mengikuti peredaran masa, perlu memastikan tidak mengubah ciptaan Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: "Seorang wanita datang menemui Nabi Muhammad S.A.W lalu berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku berkahwin seawal usia terlalu muda. Namun kepalanya ditimpa sesuatu sehingga menyebabkan rambutnya gugur (menjadi jarang), maka adakah boleh aku lakukan menyambung rambut padanya?" Lalu Baginda S.A.W bersabda: "Jangan (lakukan). Sesungguhnya dilaknat wanita yang melakukan menyambung rambut." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Allah S.W.T melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan pembedahan plastik, pembesaran buah dada dengan suntikan silikon dan sebagainya adalah diharamkan kerana termasuk dalam konteks mengubah ciptaan Allah SWT.

Firman Allah SWT: "Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah." (Surah al-Rum: 30) dan "(Itulah) Ciptaan Allah yang mencipta dengan sempurna segala sesuatu." (Surah al-Naml: 88)

Keenam, menjauhi kelakuan yang boleh mendatangkan fitnah ke arah zina. Selain pemakaian yang mematuhi garis panduan syariah, maka perilaku juga mestilah terpelihara daripada unsur yang menarik perhatian orang bukan mahram yang boleh mendorong zina.

Contohnya, wanita memakai gelang kaki kemudian menghentak-hentakkan kakinya bagi memperdengarkan kepada lelaki di sekelilingnya perhiasan yang terdapat di kakinya seperti perlakuan wanita di zaman jahiliyah.

Firman Allah SWT: "Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka." (Surah al-Nur: 31)

Ayat di atas tidak membataskan dari sudut menghentakkan kaki sahaja, bahkan semua gerak tubuh wanita yang dilenggokkan dan aksi yang boleh menarik perhatian masyarakat termasuk dalam konteks larangan.

Faktor pengharaman itu disebabkan menarik perhatian orang yang bukan mahram dengan berniat. Ia juga seperti seorang wanita yang melenggok suara atau menjadikan suaranya bernada seksi.

Firman Allah SWT: "Maka janganlah kamu (wanita) berkata-kata dengan lembut manja (semasa berbicara dengan lelaki yang bukan mahram) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)." (Surah al-Ahzab: 32)

Wanita tidak dihalang menggunakan alat solek kerana termasuk menjaga kecantikan, namun terdapat batasan yang mesti dijaga seperti dalam keadaan bersih dan cantik secara semula jadi.

Ketujuh, menghindari dan menjauhi sifat yang dikeji seperti riak, bermegah, pembaziran dan boros. Masyarakat Islam mestilah menjaga sikap daripada melakukan sifat-sifat yang dikeji oleh syarak.

Oleh itu, niat adalah perkara yang sangat penting. Walaupun mengenakan pakaian menutup aurat, namun tetap mendapat dosa kerana memiliki sifat di atas yang dikeji oleh syarak.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 7:00 AM