KEADAAN di plaza tol ketika tinjauan hari ini. Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari pada 23 dan 26 Dis kepada pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan perayaan Hari Krismas Isnin ini. FOTO Bernama
KEADAAN di plaza tol ketika tinjauan hari ini. Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari pada 23 dan 26 Dis kepada pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan perayaan Hari Krismas Isnin ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran trafik di lebuh raya utama lancar dan tiada sebarang kesesakan lalu lintas dilaporkan setakat 10 malam ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara), Plaza Tol Sungai Besi (menuju selatan) dan Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) menunjukkan keadaan lalu lintas terkawal selain jumlah kenderaan dilaporkan tidak tinggi.

"Aliran trafik Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menuju Kuantan dan LPT 2 lancar setakat ini. Sama seperti hari-hari biasa. Begitu juga aliran trafik di Tol Bentong, juga tiada sebarang peningkatan jumlah kenderaan," katanya kepada Bernama malam ini.

Namun, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Parit Buntar, Perak ke Nibong Tebal, Pulau Pinang dan dari Seremban, Negeri Sembilan menuju Melaka.

Akaun X rasmi PLUS Trafik memaklumkan aliran trafik bergerak lancar namun perlahan disebabkan oleh kenderaan rosak.

"Lori rosak di Kilometer 271.3 arah selatan dari Nilai ke Bandar Ainsdale. Lorong tengah terhalang. Trafik terkawal. Trafik juga perlahan arah selatan dari Sedenak ke Senai, Johor. Pandu cermat," menurut ciapan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 10:37 PM