Pihak Ranhill SAJ mengagihkan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas di sekitar Johor Bahru dan Kulai. FOTO IHSAN RANHILL SAJ
Pihak Ranhill SAJ mengagihkan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas di sekitar Johor Bahru dan Kulai. FOTO IHSAN RANHILL SAJ
Omar Ahmad


Johor Bahru : Dua daripada lapan kawasan utama yang mengalami gangguan bekalan air bersih akibat kebakaran dua unit alat pengubah arus elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Semanggar, sejak kelmarin, sudah pulih sepenuhnya.

Kawasan terbabit ialah Gelang Patah dan Austin yang yang sudah pulih 100 peratus dan bekalan air kembali disalurkan seperti biasa.

Menurut kenyataan Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) di laman media sosial rasminya, kawasan Gelang Patah membabitkan 47 kawasan dan Austin membabitkan tiga kawasan.

"Status pemulihan bekalan air kawasan terjejas setakat jam 12 tengah hari ini ialah Kulai 70 peratus, Senai (56 peratus), Seelong (63 peratus), Pulai (60 peratus) dan Kempas (58 peratus).

"Misi pengagihan air melalui lori tangki dan tangki statik bagi membekalkan air bersih kepada pengguna terjejas masih diteruskan dengan keutamaan untuk rumah ibadat, pusat kesihatan dan pusat dialisis.

"Kawasan lain akan pulih secara berperingkat dalam masa terdekat, selepas pemasangan unit baru alat pengubah arus elektrik di LRA Semanggar, yang kini sedang dilakukan," katanya.

Kelmarin, berlaku kebakaran dua unit alat pengubah arus elektrik di LRA terbabit yang menyebabkan lebih 100 kawasan mengalami gangguan bekalan air bersih.

Antara kawasan yang terjejas ialah daerah Johor Bahru termasuk Skudai, Pulai, Kempas, Seelong, Gelang Patah dan Kulai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 3:20 PM