Omar Ahmad.


Johor Bahru: Rata-rata pengusaha kedai makan dan restoran di Kempas, di sini, mengambil inisiatif menggunakan cawan, garpu dan sudu pakai buang bagi membolehkan operasi perniagaan dapat diteruskan walaupun berdepan gangguan bekalan air.

Ini berikutan masih berlaku gangguan air luar jangka akibat kebakaran dua unit alat pengubah arus elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Semanggar, sejak semalam.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Kempas, di sini, mendapati beberapa kedai makan juga dilihat tidak beroperasi berikutan masalah itu.

Pengusaha kedai makan, Nurul Fitria Muhd Said, 29, berkata, dalam tempoh ketiadaan air, dia terpaksa mengehadkan waktu operasi perniagaannya dan hanya menggunakan pinggan serta cawan pakai buang.

"Kami juga hadkan pengeluaran masakan, sediakan apa yang ada, kalau bahan yang disediakan sudah habis, kami terus tutup kedai.

"Walaupun kos meningkat (untuk membeli barangan pakai buang), insya-Allah dalam dua hari lagi masalah gangguan air ini diharapkan selesai," katanya ketika ditemui, hari ini.

Semalam, berlaku kebakaran dua unit alat pengubah arus elektrik di LRA Semanggar yang menyebabkan lebih 100 kawasan mengalami gangguan bekalan air bersih.

Antara kawasan yang terjejas ialah daerah Johor Bahru termasuk Skudai, Pulai, Kempas, Seelong, Gelang Patah dan Kulai.

Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) sudah melaksanakan beberapa langkah alternatif antaranya dengan menggunakan sistem jana kuasa (genset) sebagai bantuan alternatif bagi mengoperasikan semula LRA Semangar.

LRA Semangar beroperasi semula pada kadar 50 peratus dan Ranhill SAJ turut menyediakan lori tangki sebagai bantuan bekalan air bersih tambahan serta melakukan pengolahan sistem bekalan air bagi membantu penduduk di kawasan yang masih terjejas.

Kawasan yang terjejas dijangka pulih secara berperingkat dalam masa 72 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 2:17 PM