Loji Rawatan Air.
Loji Rawatan Air.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua Loji Rawatan air (LRA) iaitu LRA Yong Peng 2 dan LRA Yong Peng 3 yang henti tugas semalam disebabkan gangguan bekalan elektrik di Empangan Bekok, kini sudah beroperasi semula tengahari tadi.

Ranhill SAJ dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, bekalan air di semua kawasan terjejas pulih sepenuhnya mengikut pelan pemulihan yang dilaksanakan.

"Pengguna di kawasan terjejas sudah menerima bekalan air bersih terawat seperti biasa, selepas semua sistem agihan bekalan air stabil dan tangki-tangki terjejas berada pada paras normal

"Ranhill SAJ ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesabaran dan kerjasama baik oleh pengguna yang terjejas.

"Sekiranya masih terdapat gangguan bekalan air di kawasan anda, hubungi kami menerusi medium rasmi aduan Ranhill SAJ di talian mesra 1800887474, email: ranhillsaj.com.my atau sms: ATRanhillSAJAduan dan hantar ke 63001 untuk siasatan dan tindakan lanjut," maklum kenyataan itu.

Semalam, sebanyak 372 kawasan di sekitar Batu Pahat mengalami gangguan bekalan air tidak terancang berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Yong Peng 2 serta LRA Yong Peng 3 kerana gangguan bekalan elektrik (tripping) di Empangan Bekok.

Gangguan bekalan air tidak terancang itu, sebelum ini membabitkan 33 kawasan di Jalan Parit Sulong-Simpang Lima; Simpang Lima-Bagan-Parit Sangit (32); Yong Peng (73); Tongkang Pecah-Jalan Parit Jalil (37); dan Tanjung Sembrong (26).

Seterusnya, Parit Sulong (22), Ayer Hitam (41), Sri Medan (66); Parit Yaani (35); Jalan Kluang-Ayer Hitam (empat) dan Pekan Semerah (tiga).

Kawasan yang terjejas meliputi Klinik Kesihatan Tongkang Pecah, Klinik Kesihatan Jalan Yong Peng dan kawasan perindustrian Tongkang Pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 1:20 PM