Keadaan basikal penunggang yang digilis lori di Kilometer 22, Jalan Jeniang - Sik Pedu hari ini. FOTO  Facebook
Keadaan basikal penunggang yang digilis lori di Kilometer 22, Jalan Jeniang - Sik Pedu hari ini. FOTO Facebook
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Seorang penunggang basikal maut digilis sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang dari beriadah di Kilometer 22, Jalan Jeniang -Sik Pedu di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Nazirah Jamaludin,41, dipercayai dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Kuala, di sini selepas berbasikal seorang diri.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang sedang menyusur keluar dari simpang tiga melanggar penunggang basikal yang berada di laluan utama dari Jeniang menghala ke Sik

"Akibat dari perlanggaran itu, mangsa yang basikal digilis dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdull Razak, berkata, pemandu lori berusia 51 tahun itu didapati negatif dadah dalam ujian saringan air kencing.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut kes masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:36 PM