KEMALANGAN membabitkan empat kenderaan termasuk pacuan empat roda milik JBPM Kedah di Jalan Jeniang-Sik-Pedu (Jalan Sungai Pau) yang menyebabkan seorang guru wanita maut. FOTO Ihsan bomba
KEMALANGAN membabitkan empat kenderaan termasuk pacuan empat roda milik JBPM Kedah di Jalan Jeniang-Sik-Pedu (Jalan Sungai Pau) yang menyebabkan seorang guru wanita maut. FOTO Ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli

Sik: Guru wanita maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan termasuk milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah di Jalan Jeniang-Sik-Pedu (Jalan Sungai Pau) di sini, hari ini.

Fatin Syazrina Mohd Yusof, 30, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dalam kejadian pada 3 petang itu.

Selain itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Saiful Azhar Ahmad Fadzil, 45, pula mengalami kecederaan di tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 61 tahun dari arah Jeniang menghala ke Sik terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

"Kereta itu kemudiannya melanggar Honda CRV, Mitsubishi Pajero milik JBPM dan Subaru Legacy.

"Pelanggaran itu menyebabkan Honda CRV dipandu guru wanita terbabit berpusing beberapa kali ke bahu jalan di sebelah kanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KEMALANGAN membabitkan empat kenderaan termasuk pacuan empat roda milik JBPM Kedah di Jalan Jeniang-Sik-Pedu (Jalan Sungai Pau) yang menyebabkan seorang guru wanita maut. FOTO Ihsan bomba
KEMALANGAN membabitkan empat kenderaan termasuk pacuan empat roda milik JBPM Kedah di Jalan Jeniang-Sik-Pedu (Jalan Sungai Pau) yang menyebabkan seorang guru wanita maut. FOTO Ihsan bomba

Menurutnya, penumpang hadapan Proton Wira itu yang berusia 60 tahun cedera di kaki.

Katanya, pemandu Proton Wira dan seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu Subaru Legacy tidak mengalami kecederaan.

"Mayat guru berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kejadian berlaku ketika anggotanya dalam perjalanan pulang ke Guar Chempedak selepas selesai menjalani latihan bot di Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 8:30 PM