ANTARA peralatan yang dirampas selepas menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai polis. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA peralatan yang dirampas selepas menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai polis. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Pekerja pembersihan hotel yang memiliki peralatan untuk menyamar sebagai polis ditahan di rumahnya di Kampung Klang Gate Bharu, Kuala Lumpur, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Taman Melawati ketika serbuan di rumah lelaki berkenaan pada 7.26 malam.

"Pemeriksaan dalam rumah suspek menemui pelbagai barangan serta peralatan polis seperti vest warna hijau tertera tulisan polis, sehelai baju dan seluar polis lelaki warna biru gelap.

"Turut ditemui pedang samurai sepanjang 95 sentimeter (sm) beserta sarung dan kotak kecil berwarna hitam didalamnya mengandungi unit lencana integriti amalan kita, lencana kolar (collar badge) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelekat PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan lanjut dalam simpanan telefon bimbit lelaki itu menemui satu dokumen menyerupai kad kuasa polis.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai 19 rekod jenayah lampau sejak 2000 membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah seperti samun, pecah rumah serta menyamar polis.

"Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak iaitu lelaki berusia sembilan tahun lelaki dan perempuan berusia 11 tahun.

"Semasa tangkapan hanya suspek dan bersama anak lelaki berada di rumah manakala isteri keluar bekerja," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methampethamine.

"Setakat ini polis dapat menyelesaikan empat kes jenayah dan menyamar polis iaitu satu di Ampang manakala tiga lagi kes di Gombak dengan penahanan lelaki berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 6:34 PM