FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Pura-pura ingin membeli rantai emas, sebelum melarikan barangan bernilai RM5,000 itu di sebuah kedai emas di Taman Melawati, di sini, kelmarin.

Itu taktik seorang lelaki berusia 33 tahun yang masuk ke dalam premis itu menyamar sebagai pelanggan sebelum mencuri rantai emas ketika ditunjukkan kepadanya oleh pemilik premis.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, pemilik premis berusia 40 tahun itu pada mulanya didatangi suspek memberitahu ingin membeli rantai emas.

Tanpa mengesyaki apa-apa dia kemudian mengeluarkan rantai emas itu dan memberi kepada suspek namun tidak lama kemudian menyedari lelaki itu sudah tiada bersama barangannya.

Susulan itu, dia tampil membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan itu, polis yang mengesan suspek menahannya di kawasan perumahan di Taman Melawati, di sini, jam 12.20 tengah malam semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau jenayah dan tidak dikehendaki oleh pihak polis.

"Polis turut merampas sekeping resit pajak gadai untuk siasatan lanjut.

"Ujian saringan awal air kencing juga dijalankan dan dapati suspek negatif dadah," katanya kepada Harian Metro malam ini.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 9:03 PM