KANE disahkan pulih daripada kecederaan belakang dan sedia diturunkan. -FOTO AFP
KANE disahkan pulih daripada kecederaan belakang dan sedia diturunkan. -FOTO AFP
AFP

London: Pengurus England, Gareth Southgate memaklumkan bahawa kapten England, Harry Kane kini sudah pulih daripada kecederaan belakang dan kini menantikan Kejuaraan Eropah yang akan datang.

Penyerang Bayern Munich Kane terlepas dua perlawanan terakhir Bundesliga bersama pasukannya kerana masalah belakang yang dihadapinya sejak sebelum kekalahan separuh akhir Liga Juara-Juara kepada Real Madrid dua minggu lalu.

Bagaimanapun, pengurus England Southgate tetap menyenarai penyerang berusia 30 tahun itu dalam skuad sementaranya untuk kejohanan yang akan berlangsung dari 14 Jun hingga 14 Julai.

"Kane hampir sembuh sepenuhnya sekarang. Dia agak tenang tentang itu. Saya fikir keputusan yang bijak diambil untuk tidak beraksi pada perlawanan terakhir," kata Southgate.

"Masalah belakang boleh berlaku, tetapi ia bukanlah sesuatu yang kami bimbangkan pada masa ini. Pemahaman kami mengenainya adalah ia hampir sembuh sepenuhnya pada masa ini."

Kane menjaringkan 44 gol dalam 45 penampilan dalam semua pertandingan pada musim pertamanya di kelab Jerman itu termasuk empat hatrik dalam Bundesliga.

Namun dia tidak dapat membantu Bayern memenangi trofi, kali pertama gergasi Jerman itu gagal memenangi piala sejak 2012.

England akan bermain dua perlawanan persahabatan menentang Bosnia pada 3 Jun di St James Park dan Iceland pada 7 Jun di Wembley sebelum menuju ke Euro di mana mereka berada dalam kumpulan bersama Serbia, Denmark dan Slovenia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 8:06 AM