Antara pelajar sekolah yang hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja. FOTO DANIAL SAAD
Antara pelajar sekolah yang hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja. FOTO DANIAL SAAD
Mohd Roji Kawi


Kuching: Hampir dua juta remaja berusia dalam 12 hingga 17 tahun di seluruh negara sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, setakat ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, pencapaian itu cukup melegakan dan yakin sasaran untuk memastikan semua remaja yang layak divaksinasi akan tercapai.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima setakat ini, kebanyakan remaja terutamanya pelajar sekolah gembira untuk menerima vaksin Covid-19.

"Program vaksinasi remaja berjalan dengan lancar dan sambutan daripada golongan itu termasuk sokongan ibu bapa adalah cukup baik.

"Walaupun saya tiada angka yang tepat jumlah yang sudah menerima vaksin setakat ini, tetapi difahamkan kini jumlahnya sudah hampir dua juta orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan untuk meninjau pengoperasian hari pertama sesi pembelajaran bersemuka di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Taman Matang Jaya di sini, hari ini.

Justeru, beliau turut mengingatkan ibu bapa terus memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk menerima vaksin.

Dianggarkan seramai 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun layak untuk diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu mengenai guru yang enggan divaksin di Sarawak, beliau berkata, jumlah yang menolak pelalian itu adalah rendah iaitu tidak sampai satu peratus atau kurang 100 daripada 39,000 guru di seluruh negeri ini.

"Ada yang menolak untuk divaksin atas alasan kesihatan seperti mengidap kanser, tetapi ada juga yang sengaja menolaknya atas alasan tuntutan agama.

"Kita akan terus memujuk mereka yang tiada masalah kesihatan itu untuk menerima vaksin kerana ini adalah untuk kepentingan semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 12:20 PM