Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Lebih 100 guru di negeri ini menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu hanya mewakili peratusan yang kecil daripada keseluruhan guru yang ada di Terengganu.

"Isu ini memang ada (bukan di Terengganu) tempat lain pun ada cuma seruan saya kepada mereka ini dapat mempertimbangkan semula keputusan mereka demi kemaslahan dan kebaikan semua pihak.

"Saya difahamkan jumlah itu tidak statik kerana ada guru menerima vaksin selepas dipujuk dan selebihnya adalah mereka yang 'hardcore' atau tegar.

"Bagi penjawat awam negeri pula, setakat ini kita tidak ada terima laporan lagi dan kita tidak tahu punca mereka (menolak) sama ada sebab penyakit atau sebaliknya," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang mungkin dikenakan terhadap guru yang enggan menerima vaksin tanpa alasan kukuh, Ahmad Samsuri berkata, tiada sebarang peraturan atau undang-undang yang membolehkan sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka ketika ini.

"Pendekatan ketika ini adalah peringkat memujuk bagi memastikan guru yang berkenaan bersetuju menerima suntikan vaksin," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, ujian saringan Covid-19 secara berkala mungkin antara alternatif yang boleh digunakan jika golongan berkenaan enggan divaksin sekiranya sesi persekolahan dibuka.

"Itu mungkin salah satu cara. Kalau mereka sanggup hendak 'hadap' ujian (saringan Covid-19) dua minggu sekali, itu terpulang lah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 4:29 PM