GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak kini dalam fasa akhir persiapan untuk memberi vaksin Covid-19 kepada remaja bawah 17 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Kita akan mengumumkan bila proses vaksinasi terhadap golongan itu akan dilaksanakan apabila persiapan sepenuhnya dibuat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Uggah menggesa sekelompok kecil penduduk negeri ini yang menolak atau masih enggan diberi vaksin supaya segera melakukannya.

"Kita memiliki pusat vaksinasi di seluruh negeri dan mereka yang berkaitan harus menghubungi pejabat jawatankuasa pengurusan bencana di kawasan masing-masing untuk mendapatkan vaksin.

"Selagi tidak divaksinasi, mereka akan membahayakan diri sendiri dan orang lain di sekeliling mereka," katanya.

Lebih membimbangkan katanya, Sarawak kini mengalami peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

"Malah kewujudan varian Delta yang lebih merebak dengan pantas dan lebih merbahaya juga memerlukan setiap individu divaksinasi bagi melindungi diri", katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, Sarawak kini hampir mencapai imuniti kelompok apabila sehingga semalam, reramai 1,864,381 atau 90.2 peratus rakyat yang layak sudah menerima dos pertama dan seramai 1,764, 238 atau 85.4 peratus sudah menerima dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 5:38 PM