DATUK Mohamad Alamin (kanan) meninjau proses pemberian vaksin kepada murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Telipok di Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
DATUK Mohamad Alamin (kanan) meninjau proses pemberian vaksin kepada murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Telipok di Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Hanya 290 daripada lebih 40,000 guru di Sabah dilapor belum menerima vaksin Covid-19 setakat semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, beliau sudah meminta Jabatan Pendidikan negeri untuk menghubungi guru terbabit dan berbincang berhubung keperluan menerima suntikan vaksin itu.

Katanya, guru terbabit perlu divaksin bagi mematuhi syarat pengajaran secara bersemuka yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila sekolah dibuka secara berperingkat, bulan depan.

"Setakat semalam, kita menerima laporan bahawa seramai 290 orang guru di Sabah belum divaksin, jadi saya minta kepada Jabatan Pendidikan negeri untuk menghubungi mereka dan ajak berbincang.

"Guru ini penting divaksin kerana kita sudah mengeluarkan garis panduan bahawa mana-mana guru yang tidak divaksin tidak boleh hadir ke sekolah untuk mengajar secara bersemuka," katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin untuk murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Telipok, dekat sini, hari ini.

Mohamad berkata, guru yang belum divaksin perlu tampil untuk memberi kerjasama dan mematuhi arahan KPM bagi meredakan kebimbangan ibu bapa.

Katanya, ibu bapa mengharapkan semua guru divaksin kerana mereka akan berdepan dengan anak-anak apabila sekolah dibuka nanti.

Sementara itu, mengenai pemberian vaksin yang dilaksanakan di sekolah negeri ini, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis, berkata sebanyak 91 sekolah di seluruh negeri ini dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk golongan berkenaan setakat semalam.

Katanya, setakat semalam juga seramai kira-kira 162,000 daripada 368,000 remaja yang layak divaksin di Sabah sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Sabah adalah antara negeri yang berada di hadapan dalam memberi vaksin kepada anak-anak dan saya berharap juga prosesnya berjalan lancar di seluruh negara.

"Setakat semalam saja, anak-anak yang sudah divaksin di seluruh negara lebih kurang 600,000. Kita menerima kerjasama yang cukup baik dan bekalan vaksin juga dilaporkan tiada masalah," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu ragu-ragu terhadap program vaksinasi untuk golongan remaja berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun yang dilaksanakan ketika ini kerana ia adalah kaedah terbaik untuk melindungi diri daripada Covid-19.

Katanya, langkah itu juga dapat meyakinkan ibu bapa apabila sekolah mula dibuka kelak untuk proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

#kw guru, suntik, vaksin, Covid-19, Sabah, Kota Kinabalu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 3:47 PM