Noorazura Abdul Rahman


Sik: Seramai 244 mangsa banjir membabitkan 85 keluarga masih ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Banjir (PPS) yang dibuka sejak semalam di Baling dan Sik.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, sehingga 4 petang hari ini, seramai 183 mangsa daripada 70 keluarga berada di lapan PPS di Baling, manakala 61 mangsa (15 keluarga) di sebuah PPS di Sik.

"PPS yang dibuka di Baling adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putra yang menempatkan lapan mangsa, SK Siong (28), SK Bandar (9), SK Tanjung Pari (23), SK Bayu (25) dan SK Titi Gantung (44).

"Selain itu, turut dibuka adalah PPS di Dewan Banggol Derom membabitkan 17 mangsa dan Maktab Mahmud, Baling membabitkan 30 mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, 61 mangsa daripada 15 keluarga di Sik pula berada di PPS SK Gulau.

"Secara keseluruhan keadaan banjir di dua daerah berkenaan tidak banyak berubah dan semua agensi diletak dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan dijangka berterusan.

"Anggota APM sudah diarah melakukan pemantauan di lokasi berisiko dan kita meminta penduduk di kawasan terbabit supaya segera berpindah sekiranya mendapat arahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 5:33 PM
PENDUDUK Kampung Haji Abas, Mukim Bongor di Baling pulang untuk membersihkan kediaman selepas banjir surut hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
PENDUDUK Kampung Haji Abas, Mukim Bongor di Baling pulang untuk membersihkan kediaman selepas banjir surut hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.