Foto hiasan
Foto hiasan
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Baling malam tadi berikutan jumlah mangsa banjir di daerah itu meningkat.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS Banggol Derom di daerah itu dibuka pada 9 malam dengan menempatkan 38 mangsa daripada sembilan keluarga.

Menurutnya, dua lagi PPS yang dibuka sejak semalam iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung menempatkan 29 mangsa daripada 10 keluarga, manakala SK Bandar menempatkan 12 mangsa daripada dua keluarga.

"Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Baling adalah seramai 79 orang daripada 21 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS di daerah ini.

"Sementara itu, mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah di Pendang pula kekal dengan 140 orang daripada 36 keluarga berikutan paras air yang meningkat sejak Khamis lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, sehingga 9 malam tadi, keseluruhan mangsa banjir di daerah di negeri itu adalah seramai 219 orang daripada 57 keluarga di empat PPS yang aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 12:19 AM