TINJAUAN harga telur ayam di pasar raya di Selayang, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
TINJAUAN harga telur ayam di pasar raya di Selayang, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pemantauan Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga purata runcit telur ayam dan ayam bersih standard berada pada paras stabil.

KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, bagi ayam bersih standard harganya kekal stabil dengan RM7.51 bagi setiap kilogram.

"Hasil pemantauan dan analisis diperoleh daripada peringkat pengeluar dan pemborong oleh Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) menunjukkan harga jualan telur ayam bagi Gred A sekitar 37 hingga 38 sen sebiji, Gred B (34 hingga 38 sen) dan Gred C (33 hingga 37 sen) dengan margin keuntungan antara satu hingga tiga sen setiap biji.

"Pemantauan turut mendapati terdapat peniaga masih menjual dengan harga lebih rendah berbanding daripada harga kos," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, harga runcit telur ayam bagi setiap gred, ayam proses super serta ayam tua di seluruh negara mencatatkan paras tertinggi pada bulan ini.

Menurut data dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (PVS), harga ayam dan telur ayam akan dikemaskini pada 21 hari bulan setiap bulan dan bagi Ogos, ia mencatatkan paras tertinggi berbanding bulan sebelumnya.

Berikutan itu, KPDNHEP meminta pengguna membuat pilihan lebih bijak dan membuat perbandingan sebelum membeli barang keperluan.

"Perlu diketahui, harga runcit telur ayam yang dijual dalam kuantiti 30 biji lebih menjimatkan berbanding dijual dalam kuantiti 10 biji.

"Oleh itu, pengguna digalakkan membuat pilihan bijak," katanya.

Bagaimanapun, KPDNHEP berkata, pihaknya tetap mempergiatkan pemeriksaan di peringkat pengeluar, pengilang dan pengimport makanan ternakan ayam di bawah Ops Rantai 7.0 (Makanan Ternakan Ayam) susulan situasi kenaikan harga import makanan ternakan ayam yang turut memberi kesan kepada harga ayam dan telur.

Katanya, KPDNHEP melaksanakan peguatkuasaan Ops Pasar (telur ayam) sejak 2 Ogos lalu dan Ops Rantai dilaksanakan sejak 11 Ogos.

"Pemantauan setiap hari itu sebagai pendekatan bagi memastikan pergerakan harga runcit ayam dan telur ayam tidak menekan pengguna dan memastikan pasaran sentiasa kompetatif.

"Penguatkuasaan Ops Pasar memberi fokus kepada tiga sasaran utama telur ayam iaitu Gred A, Gred B dan Gred C. Pemeriksaan mengambil kira semua rantaian termasuk peringkat pengeluar, penternak, pemborong dan peruncit," katanya.

KPDNHEP berkata, sepanjang penguatkuasaan Ops Pasar, 136 premis diperiksa membabitkan 41 premis pengeluar telur dan 95 premis pemborong.

Katanya, sejumlah 136 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dikeluarkan kepada pengeluar dan pemborong bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung peningkatan harga di peringkat peruncit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:53 PM