FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hamzah Osman


Langkawi: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) merayu kerajaan melonggarkan syarat bagi agensi kerajaan dan swasta menganjurkan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di pulau ini.

Naib Pengerusi MAH Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat, berkata langkah itu dapat membantu merancakkan kembali perniagaan hotel di pulau legenda itu yang terjejas teruk akibat pendemik Covid-19.

Menurutnya, untuk minggu pertama selepas projek rintis gelembung pelancongan dibuka kadar tempahan memuncak malah hotel lima bintang mencecah 80 peratus.

"Malangnya, memasuki minggu kedua, kadar tempahan bagi hotel lima bintang menurun ke 45 peratus dan tiga bintang ke bawah sekitar 20 peratus.

"Kemerosotan kadar tempahan yang ketara itu memberi gambaran industri perhotelan masih berada dalam keadaan 'nazak' dan perlukan sokongan kerajaan.

"Perniagaan hotel di pulau ini memerlukan dan bergantung kepada aktiviti MICE oleh agensi kerajaan dan swasta untuk menjana pendapatan dan mengelak kerugian berterusan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengurus Besar Hotel Adya Langkawi mendakwa ada agensi kerajaan dan swasta yang berminat serta mempunyai peruntukan untuk penganjuran MICE namun terbantut dengan pelbagai kerenah birokrasi.

"Setakat ini kemasukan pelancong harian masih rendah iaitu sekitar 1,200 pelancong menerusi penerbangan dan 500 orang menggunakan feri sejak 16 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 3:29 PM