Razmi Rahmat
Razmi Rahmat
Hamzah Osman


Langkawi: Hari kedua projek rintis gelembung pelancongan di pulau ini hari ini menyaksikan sebilangan hotel berstatus lima bintang mencatat tempahan bilik sehingga 100 peratus.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Razmi Rahmat berkata, angka itu memberi petanda positif sektor perhotelan di pulau legenda itu bersedia untuk pulih.

"Memasuki hari kedua, hari ini, sebahagian besar hotel berstatus lima bintang di pulau ini masih mendahului kadar tempahan bilik iaitu antara 60 hingga 80 peratus.

"Malah sebilangan daripadanya, khususnya yang berada di tepi pantai dengan tawaran harga yang menarik, kadar tempahan bilik mereka telah mencecah 100 peratus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kadar tempahan bagi hotel empat bintang ke bawah pula masih perlahan sekitar 40 peratus.

"Ini kerana perkhidmatan feri dari Kuala Kedah masih belum beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah, iaitu kawasan sama yang menempatkan Terminal Feri Penumpang.

"Kita yakin kadar tempahan hotel terbabit akan meningkat mendadak pada Isnin ini, sebaik feri penumpang laluan Kuala Kedah-Langkawi beroperasi semula iaitu sehari selepas PKPD kawasan itu ditamatkan," katanya.

Katanya, kebanyakan hotel empat bintang ke bawah dijangka mencatat kadar tempahan penginapan menggalakkan menjelang minggu kedua Oktober ini.

"Ini kerana menjelang tempoh itu beberapa hotel di sekitar Kuah dan Pantai Chenang mula menerima tempahan penginapan dan dewan secara berkumpulan bagi penganjuran mesyuarat dan bengkel berskala besar.

"Cuma dalam tempoh berbaki kira-kira dua minggu lagi untuk bulan ini, kita akui kadar tempahan bilik untuk hotel empat bintang ke bawah berhadapan situasi turun naik," katanya.

Menyentuh sikap dan penerimaan pengunjung hotel terhadap prosedur operasi standard (SOP) dipraktikkan pihak hotel pada hari pertama semalam, beliau berkata, semua pengunjung menerimanya dengan baik.

"Kita dapati pengunjung hotel tidak merungut malah semua mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera dan menggunakan cecair pembasmi kuman tangan yang disediakan.

"Malah, hotel-hotel di pulau ini juga masing-masing siap siaga dan menubuhkan jawatankuasa SOP Covid-19 di peringkat dalaman bagi menangani sebarang kes kecemasan berkaitan wabak itu.

"Ada hotel yang masih berhati-hati dan memperketatkan amalan SOP termasuk penyediaan sarung tangan untuk pengunjung mengambil makanan dan membenarkan maksimum empat orang satu meja untuk sarapan pagi di restoran dalam bangunan hotel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 12:54 PM