PASUKAN teknikal dan doktor veterinar dalam bilik bedah selepas selesai pembedahan.
PASUKAN teknikal dan doktor veterinar dalam bilik bedah selepas selesai pembedahan.
Nurul Husna Mahmud


BURUNG antara pilihan peminat haiwan untuk dipelihara sebagai peneman atau hobi masa lapang kerana memiliki sifat manja selain boleh dilatih untuk 'free fly' (diterbangkan).

Bagi kebanyakan pemilik burung, biasanya akan memelihara spesies unggas itu di dalam kediaman bagi melindungi dari ancaman pemangsa lain.

Jika merenung kepada sifat haiwan ini yang gemar terbang, semestinya pemilik yang memelihara di dalam kediaman akan melepaskan burung peliharaan mereka sebagai rutin memenuhi tabiat semula jadinya.

Tidak hairanlah keadaan itu boleh mendedahkan kepada risiko kemalangan dan kecederaan membabitkan burung terutama membabitkan pemilik baru.

Menurut Pansyarah dan Perunding Avian Hospital Veterinan Universiti (HVU), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Jalila Abu, burung peliharaan sering terdedah kepada trauma dan kecederaan fizikal disebabkan kemalangan.

"Burung yang dipelihara di dalam rumah berdepan dengan pelbagai kemalangan seperti terkena kipas siling, terhantuk pada dinding dan terlanggar perkakas lain apabila ia terbang.

"Tidak kurang juga, kemalangan boleh berlaku membabitkan burung di dalam sangkar yang mana kecederaan berpunca daripada kejadian seperti tersangkut kepak atau kaki di dinding atau pintu sangkar.

"Kecederaan yang boleh dialami burung ini termasuk kerosakan bulu pelepah iaitu bulu pelepah patah atau kulit dan tisu bahagian itu terkoyak.

"Keadaan itu masih dikategorikan sebagai kecederaan kecil berbanding patah tulang atau sendi terseliuh di bahagian kepak dan kaki yang menyebabkan burung tidak boleh bergerak mahupun terbang seperti biasa," katanya.

Tambah Dr Jalila lagi, apabila pemilik mendapati burung peliharaan mereka tercedera, perlulah segera mendapatkan rawatan di klinik veterinar bagi mengelak komplikasi terhadap luka atau kecederaan unggas itu.

"Kesilapan yang sering berlaku dalam kalangan pemilik burung apabila haiwan itu tercedera ialah sikap bertangguh mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan luka menjadi kering atau tempat yang patah terdedah dan dijangkiti kuman.

GAMBAR X-ray keadaan tulang kepak burung yang patah.
GAMBAR X-ray keadaan tulang kepak burung yang patah.

PEMERIKSAAN susulan tulang kaki burung yang patah.
PEMERIKSAAN susulan tulang kaki burung yang patah.

"Tulang yang terdedah dan sudah dicemari kuman boleh menyebabkan haiwan itu mati atau 'non-viable.' Keadaan itu mengakibatkan kaki atau kepak terpaksa dipotong," katanya.

Jika mendapat rawatan kadar segera, tulang yang patah itu dapat diselamatkan menerusi cara pembedahan atau balutan bagi menstabilkannya dan memberi masa untuk bahagian itu sembuh.

"Tempoh untuk sembuh juga bergantung kepada tahap kecederaan dan biasanya dalam jangka masa empat hingga enam minggu.

"Ketika pembedahan pula, burung patah tulang akan diletak bawah anestesia pernafasan dalam tempoh satu hingga tiga jam bergantung kepada tahap serius tulang yang patah.

"Dalam proses itu juga, radiografi tulang akan diambil secara berkala. Pemberian ubat tahan sakit, ubat mengurangkan bengkak dan antibiotik bagi kes trauma tisu terbuka atau koyak," katanya.

Antara tip penting turut dikongsi Dr Jalila untuk memastikan kesejahteraan burung peliharaan ialah pemilik boleh melakukan pemotongan bulu pelepah sayap sebanyak dua kali setahun. Selain digalakkan membawa burung untuk pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Langkah-langkah boleh diambil pemilik apabila mendapati burung peliharaan mengalami kecederaan:

1. Tangkap burung yang cedera dan biarkan di dalam sangkar, sofa atau dalam pegangan pemilik antara 10 hingga 15 minit.

2. Perhatikan sama ada pendarahan di kepak, kaki atau bahagian mulut. Adakah burung peliharaan anda menunjukkan keadaan tidak normal seperti susah bernafas atau mata tertutup? Adakah ia mampu berdiri atau nampak kedudukan sayap tidak normal?

3. Hubungi segera klinik atau hospital veterinar yang berdekatan untuk membuat temu janji bagi mendapatkan rawatan.

4. Pemilik sebaiknya digalakkan untuk membawa burung yang cedera pada hari yang sama di mana kejadian berlaku atau paling lewat keesokan harinya.

5. Pihak klinik atau hospital veterinar akan memberi nasihat awal untuk tindakan sebelum perjalanan ke tempat temu janji seperti memberi makanan dan minuman, perlu 'dipuasakan' atau perlu dimasukkan ke dalam wad di klinik atau hospital veterinar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:43 AM