ANTARA wang tunai dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan Polis
ANTARA wang tunai dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sebuah premis di Kulim yang digunakan untuk aktiviti judi loteri awam tanpa lesen diserbu polis kelmarin.

Serbuan dilakukan jam 7.40 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (IPD) Kulim.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menahan dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 50-an untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas peralatan disyaki digunakan untuk judi loteri awam tanpa lesen dan wang tunai RM81,156.

"Hasil siasatan mendapati premis terbabit digunakan sebagai pusat pengiraan (counting centre) judi loteri awam tanpa lesen.

"Kedua-dua suspek yang ditangkap disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi meneliti modus operandi sindiket terbabit.

Beliau berkata, pihaknya percaya kegiatan itu masih baru dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 8:10 AM