Fisol menunjukkan tangkapan individu serta rampasan dalam serbuan berasingan secara dalam talian dan loteri haram di Sungai Kob, Kulim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Fisol menunjukkan tangkapan individu serta rampasan dalam serbuan berasingan secara dalam talian dan loteri haram di Sungai Kob, Kulim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tujuh lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan ke atas rumah yang dijadikan lokasi menjual nilai tambah judi dalam talian dan loteri haram di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim, Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam serbuan pertama judi secara dalam talian jam 8 malam itu, polis menahan lima lelaki berusia 21 hingga 62 tahun untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya merampas lima telefon bimbit dan sejumlah wang untuk membantu siasatan.

"Kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Jika sabit kesalahan, hukuman denda RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Fisol berkata, dalam serbuan loteri haram pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 38 tahun di sebuah premis di lokasi taman perumahan sama di Kulim.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai dan peralatan yang digunakan dalam aktiviti loteri haram di dalam premis yang diserbu.

"Kes disiasat Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi terbuka 1953. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda antara RM20,000 hingga RM200,000 serta penjara tidak lebih lima tahun," katanya.

Dalam pada itu, Fisol berkata, Polis Kedah memberi komitmen 100 peratus akan mengambil tindakan terhadap maklumat yang disalurkan melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Katanya, beliau sendiri akan memastikan supaya tindakan akan diambil terhadap maklumat yang disalurkan melalui aplikasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 2:46 PM