GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan empat lelaki termasuk dua warga asing dipercayai terbabit dengan kegiatan penjualan loteri awam tanpa lesen dalam serbuan berasingan di sekitar Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya membuat tangkapan empat lelaki berusia antara 32 hingga 36 tahun itu bermula jam 3 hingga 6 petang.

"Hasil serbuan itu, polis menemui pelbagai barangan disyaki digunakan dalam menjalankan aktiviti loteri termasuk tiga telefon bimbit, dua pencetak serta wang tunai berjumlah RM361.

"Siasatan awal mendapati pasaran sindiket itu adalah penduduk di daerah ini dan mampu mengaut keuntungan sebanyak RM1,000 sehari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, semua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi meneliti modus operandi sindiket itu dalam menjalankan aktiviti penjualan loteri awam tanpa lesen selain mengenal pasti di sebalik kegiatan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:38 PM