POLIS merampas peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian ketika mengadakan serbuan sekitar daerah Seberang Perai Utara. FOTO ihsan PDRM
POLIS merampas peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian ketika mengadakan serbuan sekitar daerah Seberang Perai Utara. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Sebanyak 29 premis perniagaan yang menjalankan kegiatan judi loteri awam tanpa lesen dan judi dalam talian sekitar daerah ini diserbu dalam tempoh empat hari.

Dalam serbuan itu, seramai 29 individu berusia antara 19 hingga 77 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan diadakan sekitar kawasan Kepala Batas, Tasek Gelugor, Sungai Dua, Telok Ayer Tawar, Mak Mandin dan Butterworth.

"Melalui serbuan ini, polis merampas pelbagai peralatan digunakan kegiatan perjudian itu antaranya pen, kalkulator, modem, powerbank (bank kuasa), slip kertas bercetak angka-angka judi loteri, telefon bimbit, mesin pencetak, sejumlah wang tunai bercampur-campur dan kereta.

"Semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, serbuan selama empat hari berakhir semalam itu dilaksanakan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPD Seberang Perai Utara dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Operasi akan diteruskan walaupun dalam keadaan kekangan tugas memandangkan polis kini giat melaksanakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan wabak Covid-19.

"Dalam operasi ini, polis meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemotongan bekalan elektrik supaya kegiatan ini tidak berulang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(A) dan 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 2:50 PM