AYOB Khan (depan) menunjukkan barang kes dadah yang akan dilupuskan. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AYOB Khan (depan) menunjukkan barang kes dadah yang akan dilupuskan. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM28.91 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dadah dilupuskan itu seberat 1,765 kilogram (kg) dan 3,717 liter.

Katanya, menerusi pelupusan itu, sejumlah 17,535 kes diselesaikan bagi tempoh di antara tahun 2000 hingga tahun lalu.

"Tahun lalu, JSJN Johor sudah melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 877.40 kg dan 251.63 liter dianggarkan bernilai RM14.6 juta, membabitkan sejumlah 3,844 kes yang selesai.

"Tahun lalu, tangkapan keseluruhan bagi kes dadah adalah 18,837 individu, daripada jumlah itu, yang ditahan memiliki dan membekal dadah seramai 8,390 orang.

"Bagi tangkapan sehingga kini adalah 9,506 individu, daripada jumlah itu yang ditahan memiliki dan membekal dadah adalah 5,016 orang.

"Peratusan pertuduhan kes juga meningkat iaitu bagi tahun 2020, 51 peratus yang dituduh. Sehingga kini, 70 peratus yang dituduh membabitkan 16 sindiket," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, pada program itu, kesemua barang kes berkenaan dihantar ke Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan untuk dilupuskan menggunakan kaedah pelupusan secara insinerator (bakar).

Dalam pada itu, katanya, bermula 1 Januari hingga 13 September lalu, JSJN Johor sudah menahan seramai 9,313 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama sudah membuat rampasan dadah sebanyak 10.91 tan.

"Keseluruhan dadah dirampas bernilai RM352.44 juta, turut disita adalah harta bernilai RM27.86 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 1:20 PM