Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim (dua dari kiri) memeriksa sebahagian daripada 120 kilogram dadah dianggar bernilai RM2.59 juta milik JSJN Kuala Lumpur yang akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan. - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim (dua dari kiri) memeriksa sebahagian daripada 120 kilogram dadah dianggar bernilai RM2.59 juta milik JSJN Kuala Lumpur yang akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan. - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Sebanyak 120 kilogram dadah dianggar bernilai RM2.59 juta milik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dilupuskan di Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd, Sendayan, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, dadah yang dilupuskan itu membabitkan 7,546 kes antara 2001 hingga 2014 yang sudah selesai perbicaraan.

Menurutnya, ia kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Kualiti Alam melupuskan dadah menggunakan kaedah pembakaran moden berbanding cara lama sebelum ini.

Bagi mematuhi kehendak piawaian alam sekitar, katanya, JSJN memutuskan menggunakan khidmat syarikat berkenaan yang mempunyai peralatan dan kepakaran pelupusan barangan berjadual.

"Pelupusan dilakukan bagi mengelak tempat penyimpanan sesak dan menyukarkan pergerakan keluar masuk barang kes bagi tujuan perbicaraan selain mengelak barang kes dirosakkan makhluk perosak.

"Malah, ia juga bagi menjaga integriti pegawai dan anggota kerana barangan terbabit bernilai. Kita khuatir ada yang menjual atau menukarnya.

“Namun, setakat ini belum ada kes sedemikian berlaku," katanya pada sidang media selepas penyerahan dan pelupusan dadah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua JSJN Kuala Lumpur Asisten Komisioner Guan Beng Kang dan Pengarah Kualiti Alam Khalid Bahsoon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 1:43 PM