Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg melihat pelan pembangunan pekan baru Kabong. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg melihat pelan pembangunan pekan baru Kabong. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Mohd Roji Kawi


Betong: Sejumlah RM41 juta diperuntukkan bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur di daerah Kabong, di sini.

Peruntukan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg selepas mengadakan lawatan ke tapak projek menaik taraf sistem bekalan air di Kabong, hari ini.

Abang Johari berkata, peruntukan itu adalah bagi melaksanakan projek menaik taraf bekalan air, membina pejabat daerah, membina dewan serba guna dan pembinaan masjid.

"Bagi projek menaik taraf bekalan air, sejumlah RM15 juta diperuntukkan, projek pembinaan bangunan pejabat daerah pula sebanyak RM7 juta, dewan serba guna sebanyak RM5 juta manakala masjid pula RM14 juta," katanya.

Beliau berkata, selain itu, dua lagi projek iaitu pembangunan pekan baru Kabong serta pembinaan terusan akan dilaksanakan, namun kos belum ditentukan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek menaik taraf bekalan air akan memberi manfaat kepada lima rumah panjang di kawasan terbabit.

"Projek menaik taraf bekalan air itu akan akan dilaksanakan hingga ke kawasan hulu Roban.

"Peruntukan sudah disalurkan kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan projek akan bermula tahun depan," katanya.

Menurutnya, selaras dengan status Kabong yang kini menjadi daerah, sebuah pejabat daerah baharu yang dilengkapi kemudahan terkini bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat akan dibina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:29 PM