ABANG Johari menerima cenderahati pada Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon-12 Bintulu di Rumah Robert Tugang, Jalan Bintulu- Miri. FOTO Erika George
ABANG Johari menerima cenderahati pada Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon-12 Bintulu di Rumah Robert Tugang, Jalan Bintulu- Miri. FOTO Erika George
Erika George

KERAJAAN Sarawak meluluskan peruntukan RM50 juta bagi pembinaan prasarana serta infrastruktur di kawasan Suai.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengumumkan peruntukan itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon-12 Bintulu di Rumah Robert Tugang, Jalan Bintulu- Miri, semalam.

Beliau berkata, peruntukan yang diluluskan itu merangkumi projek bekalan air bersih yang membabitkan kos sebanyak RM50 juta, menaik taraf Jalan Ulu Suai dengan kos sebanyak RM3.6 juta dan menaik taraf jalan ke Rumah Boniface Bada sebanyak RM1.9 juta.

Beliau turut mengumumkan, peruntukan RM1.5 juta bagi membina laluan pejalan kaki tebingan Kampung Iran dan kos bagi memperbaiki bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Telingai Suai sebanyak RM250,000.

"Kerja-kerja pembinaan serta menaik taraf prasarana ini akan dijalankan dalam masa terdekat ini bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan yang selesa serta memenuhi aspirasi rakyat dan akan terus dilaksanakan dari masa ke masa dalam usaha memberikan kemudahan yang selesa dan selamat buat rakyat," katanya.

Abang Johari berkata, apa yang dijanjikan GPS akan dilaksanakan kerana matlamat utama mereka adalah untuk memastikan rakyat Sarawak menikmati kemudahan sempurna.

"GPS adalah parti politik tempatan yang memahami akan kehendak rakyat di negeri ini, yang mana semua agenda pembangunan adalah mengikut acuan serta kehendak rakyat di negeri ini sendiri, bukan hanya mengharapkan bantuan dari pihak luar.

"Kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya tahu menabur pelbagai janji dan mengkritik kerja orang lain sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 4:42 PM