GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan negeri memperuntukkan RM511 juta untuk menaik taraf empat Loji Rawatan Air (LRA) di Pahang dari 2018 hingga tahun ini.

Peruntukan tertinggi ialah RM466 juta membabitkan LRA Semambu Fasa 3 di Kuantan, diikuti LRA Karak di Bentong (RM40 juta), LRA Jelai di Lipis (RM20 juta) dan LRA Kechau di Lipis (RM5 juta).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan kerja menaik taraf LRA Semambu akan menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan perindustrian Gebeng dan kawasan sekitarnya.

"Pada masa sama, ia akan meningkatkan kapasiti semasa daripada 290 juta liter per hari (MLD) kepada 590 MLD.

"Status terkini projek ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2025," katanya ketika menjawab soalan Lee Ah Wong (BN-Cheka) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Lee ingin mengetahui peruntukan diluluskan untuk menaik taraf LRA di Pahang dan manfaat kepada pengguna.

Bagi LRA Karak, Wan Rosdy berkata, projek menaik taraf loji yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2022 itu akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kampung Jambu Rias, sebahagian pekan Karak dan kampung sekitarnya.

Katanya, LRA Jelai dijangka menyelesaikan masalah bekalan air di Institut Pendidikan Guru Lipis, Taman Cheneras Jaya, Flat Tempoyang, Kampung Jeram Bungor dan kawasan sekitarnya.

"Kapasiti semasa LRA Jelai adalah 18 juta MLD dan selepas dinaik taraf, ia akan bertambah kepada 28.8 MLD. Status terkini projek ini dijangkakan beroperasi sepenuhnya pada 2021.

"LRA Kechau yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2021 dijangka menyelesaikan bekalan air di seluruh Gugusan Felda Kechau dan kawasan perindustrian Kechau Tui.

"Selain itu di Bandar Baru Kuala Lipis, Kampung Pagar Sasak, Kampung Kechau Tui, Kampung Melaka dan Kampung Sungai Mun dan kampung sekitarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 3:39 PM