Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Negeri Sembilan dijangka beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh seminggu lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun, peralihan itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya kes Covid-19 di negeri ini menunjukkan penurunan.

"Sekiranya tidak ada kes yang terlalu tinggi bilangannya seperti sekarang, 170 kes Covid-19 dan maksimum lebih kurang 200 kes sahaja direkodkan sehari.

"Negeri Sembilan pada dasarnya sudah layak beralih kepada Fasa 4 namun kita tunggu dalam tempoh seminggu ini dan keputusannya bergantung kepada keadaan semasa kes selain mengambil beberapa faktor lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Cukai Taksiran di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, hari ini.

Beliau turut meminta rakyat negeri ini supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard.

"Kita percaya rakyat Negeri Sembilan sudah matang dan anggaran lebih 88 peratus sudah menerima suntikan vaksin dan kadar jangkitan agak terkawal iaitu di bawah 200 orang sehari.

"Alhamdulillah, kita mampu menjana ekonomi jika sektor pelancongan dibuka dan ia bergantung kepada rakyat untuk mematuhi SOP walau di mana kita berada," katanya.

DATUK Seri Aminuddin Harun ketika menyampaikan hadiah utama di Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Cukai Taksiran di Dewan Majlis Perbandaran, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
DATUK Seri Aminuddin Harun ketika menyampaikan hadiah utama di Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Cukai Taksiran di Dewan Majlis Perbandaran, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Aminuddin berkata, peralihan ke Fasa 3 PPN di Negeri Sembilan memberi ruang kepada banyak sektor seperti ekonomi, pelancongan dan industri untuk dibuka.

"Kerajaan mensasarkan destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

"Saya yakin, Port Dickson juga akan dibuka untuk pelancongan sedikit masa lagi," katanya.

Menurut beliau, statistik kedatangan pelancong ke negeri ini pada tahun lalu menurun iaitu 1.046 juta berbanding 2019 iaitu 6.425 juta.

Ketika itu, Port Dickson menyumbang 70 peratus kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan.

"Ini bermakna, 627,000 sahaja yang datang ke Port Dickson pada tahun lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac tahun yang sama.

"Kerajaan negeri mensasarkan graf peningkatan kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan, terutamanya Port Dickson, pada tahun depan.

"Kami sasarkan ia 50 peratus lebih ramai daripada tahun lalu dan secara tidak langsung, membantu menjana pendapatan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:51 PM