Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Calon Bebas di Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah sanggup botakkan kepala, jika menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, dia akan ikut disiplin wakil rakyat di Dewan Rakyat, baik dari segi etika pakaian dan juga gaya rambut.

"Parlimen ada tatacara pemakaian dan ayah (saya) akan ikut aturan itu. Rambut panjang akan saya ikat, malah sanggup buat majlis cukur rambut.

"Boleh buat (cukur rambut), kalau dah menang, tak ada masalah. Datanglah ramai-ramai kat (dekat) pantai Port Dickson," katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan bekas tentera di Bandar Springhill di sini, malam tadi.

Ketika ditanya adakah dia tidak menyesal cukur rambut jika diisytiharkan menang pada PRU-15 dan menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.

"Rambut boleh tumbuh semula tetapi ayah sayang rakyat lebih daripada itu. Mereka yang naikkan ayah di Parlimen, ayah akan ikut cakap mereka.

"Tidak ada masalah potong atau cukur rambut, itu niat sahaja bukanlah bernazar," ujarnya.

Abdul Rani Kulup berdepan saingan daripada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan; calon Barisan Nasional (BN), P Kalamanathan; Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha (PN) dan calon Pejuang iaitu pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

ABDUL Rani ketika mengadakan ceramah kelompok bekas tentera di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
ABDUL Rani ketika mengadakan ceramah kelompok bekas tentera di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 10:14 AM