PERDANA MENTERI Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bersama Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen, kelmarin. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim. FOTO Bernama
PERDANA MENTERI Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bersama Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen, kelmarin. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan kemelut politik diselesaikan segera susulan pendekatan rentas kerjasama antara parti politik yang dimetrai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), kelmarin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar Ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dan bersatu hati serta bersepakat dalam usaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda mengulangi pendirian bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat Covid-19.

Katanya, Baginda turut menegaskan ia selaras dengan pendirian Raja-Raja Melayu kepentingan pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

"Seri Paduka menasihati Ahli Dewan Rakyat memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Al Sultan Abdullah juga menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi dan bantuan kerajaan, proses pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan.

Beliau berkata, Baginda juga menegaskan kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan untuk meningkatkan daya saing negara.

"Seri Paduka Baginda juga menyeru rakyat menzahirkan soladiriti dan sokongan padu terhadap petugas barisan hadapan dengan berganding bahu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua perintah ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 12:25 PM