Orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu beriadah di Pantai Morib. FOTO EFFENDY RASHID
Orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu beriadah di Pantai Morib. FOTO EFFENDY RASHID
Sri Ayu Kartika Amri

Shah Alam: Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta) menyuarakan kebimbangan dengan masalah kesesakan pengunjung di kawasan rekreasi ekopelancongan di sekitar Selangor hujung minggu lalu ketika negara masih lagi bergelut dengan penularan Covid-19.

Presidennya Dr Fathir Badri mengakui terkejut dengan rakaman video serta gambar yang tular di media sosial berkaitan isu itu dan meminta pengusaha pelancongan di kawasan rekreasi supaya memandang serius pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Kami ingin mengingatkan semua pengusaha pelancongan di kawasan rekreasi untuk memandang serius dengan pematuhan SOP yang masih berkuat kuasa.

"Pematuhan SOP seperti menyediakan daftar MySejahtera, pemakaian pelitup muka, penggunaan pembasmi kuman dan lain-lain lagi perlu dipandang serius oleh pengusaha pelancongan kerana kita tidak mahu wujud kluster (Covid-19) baharu disebabkan kealpaan kita sendiri," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Fathir juga berharap pengunjung kawasan rekreasi supaya lebih berwaspada dan tidak singgah di tempat yang sesak untuk melakukan riadah bersama keluarga.

Beliau mencadangkan orang ramai mencari tempat yang tidak sesak kerana di Selangor ada banyak lokasi ekopelancongan boleh dikunjungi seperti di Hulu Langat dan Hulu Selangor.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tourism Selangor juga harus memainkan peranan penting dengan menambah iklan dan papan tanda peringatan pematuhan SOP di sepanjang kawasan rekreasi.

"Kita masih belum menang, jadi jagalah peluang ini dengan menjaga diri dan keluarga kita.

"Elakkan tempat yang sesak dan jaga penjarakan fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:39 PM