PELANCONG berpeluang melihat gajah mandi di sungai di PKGK Kuala Gandah. FOTO Mohd Rafi Mamat
PELANCONG berpeluang melihat gajah mandi di sungai di PKGK Kuala Gandah. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


SEMBILAN lokasi eko-pelancongan di bawah seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dibuka semula kepada pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mulai semalam, selepas ditutup kepada umum sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, selain

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang turut kembali beroperasi antaranya Taman Negara Kuala Tahan dan Sungai Relau di Pahang, Taman Negara di Kuala Koh, Kelantan; Taman Negara Tanjong Mentong, Terengganu dan Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor.

"Kerajaan boleh menetapkan SOP, bagaimanapun kita amat memerlukan kerjasama rakyat untuk sama-sama mematuhi bagi memastikan Covid-19 dapat dibendung dan tiada penularan berlaku di kawasan ini.

"Pelancong tempatan digalakkan untuk melancong dalam negara, banyak terdapat lokasi menarik di negara ini yang sedia dikunjungi," katanya selepas melakukan lawatan di PKGK Kuala Gandah, dekat Temerloh, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Beliau berkata, antara SOP yang ditetapkan di PKGK Kuala Gandah ialah hanya seramai 100 hingga 150 pelancong sahaja dibenarkan berada dalam kawasan terbabit pada satu-satu masa, mereka juga perlu mematuhi penjarakan sosial dan suhu badan dicatat ketika mendaftar masuk.

Tambahnya, pelancong luar negara dibenarkan melancong di semua destinasi menarik di negara ini, namun mereka tetap perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan kerajaan.

Shamsul Anuar berkata, pembangunan Perak Elephant Sanctuary (PES) di kawasan seluas lebih 80 hektar berhampiran Hutan Simpan Amanjaya dan Royal Belum dijadualkan bermula awal tahun depan dengan menggunakan model PKGK Kuala Gandah.

Bagaimanapun menurutnya, peranan PES tidak sama dengan PKGK Kuala Gandah yang terbabit dengan eko-pelancongan selain aktiviti tangkap dan pindah gajah liar yang mengancam sektor pertanian hingga menyebabkan kerugian kepada pelbagai pihak.

"Kerajaan akan berusaha membantu PKGK Kuala Gandah dalam memastikan ia dapat terus kekal menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di negara ini. Lokasi berkenaan yang kini menempatkan 31 gajah sudah terkenal di peringkat antarabangsa.

"Saya difahamkan jumlah pelancong yang datang ke PKGK Kuala Gandah bertambah setiap tahun, pelancong tertarik melihat persembahan gajah sambil mandi dengan anak gajah selain turut berpeluang memberi makan kepada haiwan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 8:37 AM