GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus mempercayai pakej umrah yang ditawarkan pada harga kurang daripada RM8,000.

Ini kerana menurut Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saffta), Dr Fathir Badri berkata, anggaran harga lantai bagi pakej umrah semasa menjangkau antara RM8,000 ke RM9,000.

Katanya, harga itu mengambil kira kos terkini selepas pandemik Covid-19, berbanding harga lantai RM4,900 yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebelum pandemik berkenaan.

"Kita faham dengan situasi sekarang yang mana di Arab Saudi kini menetapkan satu bilik hanya dibenarkan dua orang jemaah dan hotel yang dibuka pula hanya bertaraf empat dan lima bintang.

"Bas pula yang dibenarkan hanya 50 peratus kapasiti dan disebabkan semua perkara ini, kos umrah meningkat... itu belum termasuk caj ujian saringan dan insurans perlindungan Covid-19.

"Oleh itu, sangat mustahil sekiranya ada yang mengiklankan lagi pakej umrah RM4,900. Orang ramai perlu pastikan dulu kebenarannya dan risik adakah harga itu muktamad," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengenai sambutan terhadap pakej umrah terkini, Dr Fathir yang juga Pengarah Urusan Kurma Travel & Tours Sdn Bhd berkata, pihaknya sendiri menerima banyak pertanyaan mengenai pakej semasa, namun masih belum ada yang mendaftar.

Dakwanya, ada pemain industri yang dilihat mengiklan pakej tanpa kebenaran Motac dan terdapat pihak mengambil deposit daripada peserta.

"Ini tidak betul kerana untuk mengiklankan pakej umrah, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Motac dan syarat lain adalah tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang deposit daripada orang ramai.

"Kami juga ada nampak iklan pakej umrah yang menawarkan sebilik empat individu dan terbuka untuk kanak-kanak, oleh itu tidak mahu perkara ini menimbulkan kekeliruan dan penyampaian maklumat salah kepada orang ramai.

"Saffta juga bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memantau situasi harga umrah terkini," katanya yang memberitahu pihaknya merancang mengadakan umrah pada akhir September ini bagi mendapatkan gambaran sebenar prosedur operasi standard (SOP) terkini di Arab Saudi.

Menurutnya, umrah itu akan disertai enam individu yang dianggap sebagai 'trip merisik'.

"Kita nak tengok apa SOP sebenar untuk umrah dan selepas pulang ke Malaysia nanti akan buat kertas cadangan berdasarkan prosedur di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:24 PM