Zaid Salim
am@hmetro.com.my


Kuala Nerus: Polis akan meningkatkan penguatkuasaan di semua pusat dan destinasi pelancongan termasuk pulau di negeri ini bagi memastikan pengusaha pelancongan serta pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan Terengganu beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sebanyak 141 Pasukan Pemantau Pematuhan Covid-19 membabitkan kira-kira 600 anggota daripada pelbagai agensi akan digerakkan bagi melakukan pemantauan di setiap lokasi pelancongan dan kawasan tumpuan ramai termasuk pulau peranginan, pantai, taman rekreasi dan hutan lipur di seluruh negeri.

Katanya, pemantauan secara berkala turut dilakukan di resort dan chalet di pulau peranginan bagi memastikan pengusaha dan pelancong mematuhi SOP.

"Susulan pembukaan sektor pelancongan ini, kita tidak mahu ada kluster baharu, justeru kawalan ketat perlu dilakukan," katanya pada majlis taklimat pematuhan SOP Fasa 3 PPN kepada penggiat industri pelancongan di Pulau Redang, di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.

Katanya, pengusaha pelancongan sama ada pusat penginapan atau pemandu bot pelancong juga digesa bersama memainkan peranan dalam memastikan pengunjung mematuhi SOP bagi mengelak berlaku penularan wabak di kawasan pulau.

ROHAIMI (kanan) melakukan lawatan di sebuah homestay bagi memastikan pemilik resort mematuhi SOP pada majlis taklimat pematuhan SOP Fasa 3 PPN kepada penggiat industri pelancongan di Pulau Redang. FOTO Zaid Salim
ROHAIMI (kanan) melakukan lawatan di sebuah homestay bagi memastikan pemilik resort mematuhi SOP pada majlis taklimat pematuhan SOP Fasa 3 PPN kepada penggiat industri pelancongan di Pulau Redang. FOTO Zaid Salim

Sementara itu, pengurus sebuah resort di Pulau Lang Tengah, di sini, Wong Kim Woor berkata, pihaknya turut menyediakan SOP sendiri bagi memastikan pelancong yang menginap di resort berkenaan bebas daripada wabak Covid-19.

"Antara SOP yang disediakan seperti melakukan pengambilan suhu sebelum pelancong menaiki bot di tanah besar, melakukan sanitasi kepada setiap pengunjung yang masuk ke kafe, menyediakan meja makan tetap bagi setiap pengunjung sepanjang menginap di resort berkenaan.

"Bagi pengunjung dewasa, kita akan memastikan mereka sudah lengkap dos vaksin selain mematuhi SOP sedia ada yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Bagi pengusaha bot pelancong, Mohamad Amri Mad Adek, 28, berkata, pembukaan semula sektor pelancongan diharap dapat memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Bagaimanapun, saya akan pastikan pelancong yang menggunakan perkhidmatan saya lengkap dos vaksin selain mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal ketika berada dalam bot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:39 PM