PERKHIDMATAN kereta kabel di Gunung Machinchang, Langkawi dijangka meriah semula selepas gelembung pelancongan dibuka semula, 16 September ini. FOTO Hamzah Osman
PERKHIDMATAN kereta kabel di Gunung Machinchang, Langkawi dijangka meriah semula selepas gelembung pelancongan dibuka semula, 16 September ini. FOTO Hamzah Osman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyedia pakej pelancongan kini dapat menarik nafas lega berikutan langkah kerajaan membenarkan syarikat pelancongan beroperasi serta-merta tanpa perlu mendaftar dengan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS).

Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta) Dr Fathir Badri berkata, agensi pelancongan sudah membuat persediaan awal dari segi pakej dan kemudahan.

"Apabila kebenaran diberikan, kami (agensi pelancongan) memang gembira serta berterima kasih kepada kerajaan terutama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) kerana membolehkan syarikat beroperasi semula selepas dua tahun menutup perniagaan masing-masing.

"Kebanyakan syarikat kembali membuka pejabat dan menyambung semula talian telekomunikasi serta internet yang ditutup selepas lama tidak beroperasi.

"Malah, pekerja yang diberi cuti tanpa gaji dipanggil semula bekerja. Sudah tentu mereka juga gembira kerana kebanyakannya belum mendapat pekerjaan lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Menteri Motac Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, syarikat agensi pelancongan diberi kebenaran beroperasi serta-merta bagi menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi, Kedah, yang bermula Khamis depan.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Beliau yakin usaha membantu sebanyak 5,335 syarikat agensi pelancongan berdaftar di negara ini yang terkesan hampir dua tahun untuk menjana semula pendapatan, dapat dilaksanakan segera dan berjalan lancar.

Mengulas lanjut, Dr Fathir berkata, langkah kerajaan yang hanya membenarkan aktiviti pelancongan melalui agensi adalah tepat bagi mengekang penularan Covid-19.

"Syarikat agensi pelancongan amat menitikberatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan hanya menerima individu lengkap vaksinasi.

"Perjalanan juga terhad ke destinasi ditetapkan sebagai contoh dari Selangor ke Langkawi. Jadi ini dapat mengelak risiko penularan dan wujud kluster baharu. Jika seseorang itu pergi sendiri tentunya dia akan singgah ke tempat lain seperti Ipoh atau Pulau Pinang," katanya.

Beliau berharap projek rintis gelembung pelancongan ini mencapai kejayaan sekaligus membolehkan lebih banyak pusat peranginan di seluruh negara beroperasi.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 5:03 PM