GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri

Shah Alam: Peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang akan memberi impak besar kepada sektor pelancongan.

Presiden Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta), Dr Fathir Badri berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan memberi kebenaran kepada kawasan Lembah Klang untuk beralih ke Fasa 2 PPN.

Katanya, ia pastinya memberikan impak yang besar kepada sektor pelancongan terutamanya pemilik hotel dan inap desa yang dapat kembali beroperasi.

"Peralihan ini juga dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang ketika ini sangat lesu.

"Kami percaya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri yang memainkan peranan penting dalam meyakinkan kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberikan kelonggaran ini.

"Namun kami juga mengharapkan MKN dapat memberikan kebenaran kepada syarikat agensi pelancongan untuk mula membuka perniagaan mereka dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, syarikat agensi pelancongan masih tidak dibenarkan untuk beroperasi pada masa ini dan dengan memberikan kebenaran beroperasi semula akan dapat membantu kerajaan menyemarakkan kembali industri pelancongan.

Fathir berkata, pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang akan menyalurkan geran Pemulih sebanyak RM3,000 kepada agensi pelancongan yang berdaftar dalam masa terdekat ini.

"Begitu juga kepada kerajaan Selangor yang memberikan RM15,000 kepada persatuan pelancongan di bawah negeri ini.

"Bantuan seperti ini sangat bermakna kepada kami dalam industri pelancongan memandangkan kami adalah yang paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Kami juga ingin mengingatkan kepada penduduk Lembah Klang agar sentiasa menjaga SOP yang telah ditetapkan ketika pergi bercuti dan kepada penggiat pelancongan pula pastikan premis dan kemudahan anda dalam keadaan baik dan sentiasa disanitasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 3:41 PM