GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Sebanyak 4.2 peratus atau 20,000 individu di Terengganu didapati menganggur bagi suku kedua tahun ini, berbanding 4.1 peratus atau 19,800 orang sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, situasi itu berlaku berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setakat ini kadar pengangguran di Terengganu masih berada di bawah paras nasional, walaupun terdapat kenaikan pada suku kedua 2021," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) mengenai kadar pengangguran di Terengganu.

Tengku Hassan berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran Malaysia pada suku kedua tahun ini adalah sebanyak 4.8 peratus berbanding 4.55 peratus bagi keseluruhan pada 2020.

Beliau berkata, sehubungan itu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai tindakan bagi mengatasi masalah pengangguran termasuk melaksanakan Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu 2021 pada April lalu.

Menurutnya, karnival dengan usaha sama kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu menawarkan sebanyak 982 peluang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 4:23 PM