Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kerajaan yakin kadar pengangguran negara dapat diturunkan kepada 2.5 peratus pada suku pertama tahun hadapan berikutan usaha membawa masuk pelabur asing berteknologi tinggi bagi meningkatkan peluang pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar pengangguran negara pada suku pertama tahun ini merekodkan 3.5 peratus berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

"Berdasarkan (statistik) ini, saya yakin bahawa pada suku pertama tahun depan, kadar pengangguran dapat turun lagi kepada 2.5 peratus.

"Apa yang dilakukan ini adalah kerana mendokong fikrah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk kita (kerajaan) menoktahkan kemiskinan rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak termasuk kursus keusahawanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Umno Malaysia (Hawa), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan Pengerusi Hawa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat ketika berucap pada program Karnival Kerjaya MyFuture Jobs HAWA Malaysia-Kerjasama PERKESO dan Kemas di Dewan Millenium, Kepala Batas. FOTO MIKAIL ONG
Shahrizat ketika berucap pada program Karnival Kerjaya MyFuture Jobs HAWA Malaysia-Kerjasama PERKESO dan Kemas di Dewan Millenium, Kepala Batas. FOTO MIKAIL ONG

Ahmad Zahid berkata, pihak industri perlu lebih banyak membuka peluang pekerjaan kepada kaum wanita berikutan peratusan tenaga kerja bagi golongan itu dilihat masih rendah.

"Guna tenaga kerja wanita ketika ini hanya 62.5 peratus dan berharap Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama Hawa dapat memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada golongan ini, dimulai latihan-latihan keterampilan atau 'skill training' (latihan kemahiran).

"Kita sudah tubuh TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) untuk wanita yang saya minta sasaran untuk melatih 15,000 wanita ditingkatkan kepada 150,000 wanita seluruh negara untuk golongan ini diberi banyak peluang dalam industri pekerjaan yang tidak hanya bidang domestik tetapi turut berkaitan teknologi tinggi," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, portal MyFutureJobs amat dikenali dalam kalangan pencari kerja sekali gus lebih banyak peluang pekerjaan perlu ditawarkan.

Katanya, egara dijangka akan menerima lebih banyak pelaburan pada masa hadapan dan semestinya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Berdasarkan data portal MyFutureJobs menunjukkan sejak Januari 2020 hingga 21 Julai lalu, seramai 884,688 rakyat memperoleh pekerjaan menerusi perkhidmatan pekerjaan dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 3:19 PM