KAMPUNG Simpangan. FOTO GOOGLE
KAMPUNG Simpangan. FOTO GOOGLE
Siti Rohana Idris


Tumpat: Polis akan memberi tumpuan penugasan di dua kampung dalam mukim Pengkalan Kubor yang bakal dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok.

Ia berikutan lebih 10 lorong tikus di Kampung Simpangan dan Bendang Pak Yong kerap menjadi laluan penyeludup berikutan terletak berhampiran sempadan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya akan menggunakan sepenuhnya kekuatan keanggotaan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk membabitkan dua lokaliti itu.

"Lorong tikus cukup banyak dan kita anggarkan lebih daripada 10 laluan yang menghubungkan dua kampung itu dengan kawasan lain.

"Dengan keanggotaan seramai 30 anggota membabitkan pihak polis serta Rela yang bertugas setiap hari, kita harapkan tiada insiden di luar kawalan berlaku seperti mana kejadian rempuhan khemah petugas di sekatan jalan raya (SJR) PKPD Kampung Talak, baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi timbalannya, Datuk Muhamad Zaki Harun hadir di Balai Polis Palekbang untuk acara perasmian balai berkenaan.

Katanya, paling penting adalah kerjasama daripada penduduk untuk membantu pihak berkuasa dalam memberi kelancaran sepanjang pelaksanaan PKPD di dua lokaliti itu.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, sehingga kini tiga kematian membabitkan anggota dan pegawai polis akibat Covid-19 direkodkan di negeri itu.

Menurutnya, seramai 224 kakitangan kontinjen Kelantan termasuk keluarga didapati positif Covid-19 manakala 129 lagi masih dikuarantin sama ada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kuarantin kendiri.

"Beberapa keadaan berlaku yang menyumbang kepada penularan dalam kalangan warga kami iaitu jangkitan ketika bertugasn sama ada semasa proses tangkapan pesalah, siasatan dan mengiringi pesalah.

"Dari segi penugasan, ada sedikit terjejas kerana masih ada lagi kawasan PKPD akan dilaksanakan dan SJR tetap beroperasi seperti biasa.

"Kita akan guna pakai anggota dari mana-mana balai polis dengan mempelbagaikan skop tugasan untuk membantu menampung kekurangan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 3:36 PM