GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Jangan cuba lari menggunakan laluan sawah padi atau `lorong tikus' kerana polis menggandakan pemantauan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata pihaknya akan menggandakan operasi pemantauan termasuk mengadakan sekatan jalan raya (SJR) bergerak.

"Untuk makluman, terdapat tiga mukim yang terbabit dengan PKPD iaitu Ijok, Bestari Jaya dan Jeram.

"SJR bergerak dan pemantauan yang lebih kerap di kawasan PKPD akan dilakukan supaya tahap pematuhan SOP diikuti oleh orang ramai," katanya tadi.

Ketika ditanya mengenai penambahan bilangan SJR di daerah Kuala Selangor dan Tanjong Karang, Ramli berkata, pihaknya mengekalkan SJR yang sedia ada.

"Hanya tiga SJR sahaja kita kekalkan iaitu SJR Balai Polis Jeram, SJR Balai Polis Tanjong Karang dan SJR Tol Ijok Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR)," katanya.

Pada 1 Julai lalu, media melaporkan sebahagian besar mukim di lapan daerah di Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dikenakan PKPD selama 14 hari bermula hari ini.

Ia susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan trend jangkitan Covid-19 yang tinggi dengan Selangor melaporkan purata antara 1,800 ke 1,900 kes, manakala WPKL dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan perintah terkini itu akan berkuat kuasa sehingga 16 Julai dengan semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:31 PM