Siti Rohana Idris


Tumpat: Polis akan membuat pemantau bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan kerajaan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin bermula esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan terutama di kedai makan kerana dibimbangi akan wujud pemalsuan sijil vaksin oleh pengunjung.

Katanya, pengunjung perlu menunjukkan pengesahan dua dos suntikan vaksin yang sudah dibuat sama ada melalui mySejahtera di telefon bimbit atau yang dicetak.

"Jangan ada yang mengambil kesempatan mengemukakan sijil (vaksinasi) palsu atau mempunyai unsur penipuan kerana kita ada kaedah untuk mengenal pasti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mandol di sini, hari ini.

Shafien berkata, kesempatan yang sama juga tidak berlaku untuk tujuan rentas daerah dan mengharapkan kelonggaran yang diberikan itu tidak disalah guna apatah lagi ketika kes Covid-19 masih tinggi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Negeri Kelantan, Azahar Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.

Dalam perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini, Shafien berkata, sebanyak 14 daripada 32 lokaliti akan tamat bermula malam ini.

"Semua 14 lokaliti di Pasir Puteh dan Machang itu tamat mulai malam ini dan diharapkan dengan penamatan itu, semua anggota yang terbabit dapat digunakan untuk tugasan sedia ada.

"Untuk satu-satu penugasan di PKPD, seramai 59 keanggotaan yang terdiri daripada semua agensi berkaitan terbabit dan selepas ini akan difokuskan kepada tugasan lain termasuk pemantauan pematuhan SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 4:14 PM