DR Radzi yang diiringi Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah (kiri) meninjau persekitaran blok pentadbiran SMK Labuan ketika lawatan kerja ke sekolah itu Isnin lalu. FOTO Ihsan SMK Labuan
DR Radzi yang diiringi Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah (kiri) meninjau persekitaran blok pentadbiran SMK Labuan ketika lawatan kerja ke sekolah itu Isnin lalu. FOTO Ihsan SMK Labuan
Izwan Abdullah

Labuan: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam bilik darjah dan kawasan sekolah selain sistem penyuraian pelajar yang teratur diberi perhatian utama sebelum sekolah di Labuan dibuka semula bulan depan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan Ismail Abdullah berkata, semua aspek itu ditekankan pengurusan sekolah bagi mengekang penularan Covid-19 dalam di sekolah apabila sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dibuka semula.

Menurutnya, pihak sekolah juga akan memastikan aspek kebersihan dan kemudahan pembelajaran dalam keadaan baik selepas lebih enam bulan tiada aktiviti pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

"Kita akan memastikan bilik darjah dan persekitaran sekolah dalam keadaan baik dan bersih. Kita ada masa kira-kira sebulan lagi untuk melaksanakan aspek ini sebelum sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan.

"Persiapan mengenai aspek pematuhan SOP dalam kawasan sekolah dan ketika penyuraian pelajar juga akan diberikan perhatian utama.

"Ini untuk memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah dan mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan lebih selesa dan selamat," katanya dalam kenyataan mengenai persiapan pembukaan sekolah di Labuan yang dijadual bermula 3 Oktober depan.

Isnin lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengadakan sesi libat urus bersama warga pendidikan di Labuan untuk melihat tahap persediaan pembukaan sekolah di pulau bebas cukai itu.

Beliau turut meninjau persiapan pembukaan sekolah dilakukan di SMK Labuan selain melihat perkembangan projek penyelenggaraan sekolah untuk keselesaan warga sekolah berkenaan apabila sesi persekolahan secara bersemuka bermula.

Labuan yang kini berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah satu-satunya wilayah atau negeri yang akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadual bermula pada 3 Oktober depan, namun hanya membabitkan pelajar tingkatan lima dan enam.

Ia kemudiannya disusuli secara berperingkat dengan pembukaan kelas lain termasuk sekolah rendah yang dijadual bermula dua minggu selepas itu.

Ismail berkata, pihak sekolah akan memastikan semua persiapan untuk pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan dengan sebaik mungkin, khususnya yang membabitkan aspek pematuhan SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 3:28 PM