PENTERNAK dan penjual ayam hidup, Azli Mustapa mendakwa kenaikan harga ayam di pasaran disebabkan jualan dedak yang mahal.
PENTERNAK dan penjual ayam hidup, Azli Mustapa mendakwa kenaikan harga ayam di pasaran disebabkan jualan dedak yang mahal.
Redzuan Muharam


Baling: Harga dedak yang mahal dipercayai menjadi salah satu punca kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini.

Penternak dan penjual ayam hidup, Azli Mustapa, 40, dari Kupang di sini, tidak menafikan berlaku kenaikan harga ayam sejak minggu lalu didorong kenaikan harga dedak yang amat ketara kerana mencecah RM110 hingga RM114 untuk 50 kilogram berbanding RM81 sebelum ini.

"Harga dedak memang melambung naik dan boleh mencecah RM117 bagi setiap guni 50 kilogram jika termasuk dengan kos pengangkutan.

"Jika diikutkan, RM81 itu adalah harga sebelum pandemik Covid-19 melanda dan setiap bulan harga dedak naik antara RM2 hingga RM3 sejak sejak itu.

"Saya jangkakan harga dedak akan naik lagi hujung bulan ini atau awal bulan depan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Azli, dia kini menjual ayam hidup pada harga antara RM6.50 hingga RM6.80 sekilogram.

Katanya, berlaku peningkatan mendadak kerana ayam di ladang sebelum ini dijual pada harga RM1.80 saja untuk sekilogram dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apabila sampai ke pasaran, ayam daging dijual RM10 sekilogram manakala RM12 hingga RM13 sekilogram bagi ayam kampung.

"Saya tidak pasti sampai bila harga ayam akan berlaku tetapi penternak dan peniaga juga tersepit kerana perlu menanggung kos membayar pekerja," katanya yang menjadi penternak ayam sejak 2006.

Sementara itu, penternak ayam sambilan dikenali Kamal, 43 dari Sungai Petani turut mengakui kenaikan harga ayam di pasaran disebabkan dedak yang mahal.

Katanya, ia menyebabkan penternak terpaksa menjual ayam kepada peniaga dengan harga mahal berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini, sekilogram ayam hidup dijual dengan harga antara RM1.80 hingga RM2.20 saja.

"Sejak kebelakangan ini, ayam dijual dengan harga RM4 hingga RM6 sekilogram dan boleh juga mencecah RM8 ke RM9 jika menggunakan khidmat orang tengah.

"Kenaikan harga dedak salah satu punca ayam jadi mahal namun ada juga segelintir peniaga mengambil kesempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:38 PM