Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Redzuan Muharam


"SETIAP kali menjelang sesuatu perayaan, harga ayam memang akan naik tetapi tidak lama kerana akan turun semula selepas habis musim itu," kata pembekal ayam, Mohammad Zaidi Jantan.

Mohammad Zaidi, 43 yang menjalankan perniagaan di Pandamaran, Pelabuhan Kelang memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kenaikan harga ayam di pasaran yang menimbulkan kemarahan ramai.

Menurut Mohammad Zaidi, kenaikan harga ayam sudah dimaklumkan kepada peniaga yang mengambil bekalan daripadanya dan mereka memahaminya.

"Harga ayam memang tidak menentu dan berubah dua hingga tiga kali dalam sebulan. Buat masa ini, saya menjual ayam daging dan ayam tua dengan harga RM6.50 sekilogram

"Kebiasaannya, peniaga akan menjual semula kepada pelanggan mereka dengan harga RM7.50 sekilogram," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun berlaku kenaikan harga, Mohammad Zaidi berkata, bekalan ayam masih mencukupi untuk dijual kepada peniaga.

"Alhamdulillah, tiada masalah untuk saya membekalkan ayam kepada peniaga di kedai setakat ini melainkan harga yang mengalami sedikit kenaikan," katanya.

Sementara itu,seorang lagi pembekal daging, Khairul Azzuan mengakui harga ayam kini mahal berbanding sebelum ini dan dijangka meningkat menjelang Aidilfitri.

"Harga dari kilang RM7 dan di pasar RM8 tetapi ia mungkin naik lagi dalam tempoh terdekat. Harga ayam kampung saja sudah mencecah RM25 seekor.

"Salah satu sebabnya adalah kenaikan harga dedak memandangkan kebanyakannya diimport dari Thailand," katanya

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada beberapa peniaga di utara tanah air yang mengatakan kenaikan mendadak harga berlaku berikutan modal yang dikeluarkan mereka tinggi selepas pembekal memaklumkan kekurangan bekalan ayam disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 5:29 PM